PRU15: ‘Hai, saya Rara calon Parlimen Bentong’
YOUNG Syefura Othman mula memperkenalkan diri kepada pengundi Bentong sebaik diumumkan calon DAP di Parlimen itu bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sebaik diumumkan sebagai calon Parlimen Bentong mewakili Pakatan Harapan (PH) oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke hari ini, Young Syefura memuat naik poster biodata mengenai dirinya di Facebook.
Mengimbas pengalamannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketari kali pertama selepas PRU14 lalu, Young Syefura menyifatkan kawasan tersebut istimewa buat dirinya.
“Ia (DUN Ketari) adalah tempat saya mula-mula bergelar wakil rakyat. Banyak yang saya telah belajar di Ketari.
“Pahit jerih dan suka duka semuanya adalah satu pengalaman dan pelajaran paling bermakna buat saya,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Selain Young Syefura atau dikenali sebagai Rara, DAP turut mengumumkan tiga calon lain di Pahang iaitu Chow Yu Hui (Parlimen Raub), Chiong Yoke Keong (Parlimen Cameron Highlands) manakala Tengku Zulpuri Shah Raja Puji di Parlimen Lipis.
Sementara itu, Young Syefura berkata, pengalaman berdepan banjir besar yang melanda Ketari pada 18 Disember 2021 merupakan sejarah yang tidak mungkin dilupakan.
Katanya, sebagai Adun pembangkang, beliau tidak mempunyai peruntukan untuk digunakan, lebih-lebih lagi bagi membantu mangsa ketika bencana menimpa.
“Oleh itu saya dan pasukan saya bekerja keras mengumpul dana dari orang ramai untuk membantu mangsa banjir di Ketari. Kehidupan mereka mesti dipulihkan segera!
“Saya bersyukur kerana Allah beri peluang kepada saya untuk bersama-sama Ketari. Kasih sayang dari warga #Ketariku akan sentiasa saya semat dalam hati dan jadikan pedoman,” ujarnya.
Menurutnya, pada PRU15 kali ini beliau tidak akan pergi jauh dari Ketari dan memohon sokongan pengundi untuk terus bersamanya.
“Saya mohon doa dan sokongan semua. Jika 2018, kita berjaya menang bersama, saya yakin 2022 #KitaBoleh menang bersama lagi. Salam sayang dari Rara,” katanya.
Sebelum ini, Malaysiapost melaporkan Young Syefura Othman mengakui bersedia untuk bertanding di kerusi Parlimen Bentong jika diarahkan DAP untuk berbuat demikian pada PRU15.
Menurutnya, ia adalah satu pengiktirafan dan kepercayaan besar parti sekiranya beliau diberi peluang untuk bertanding di kerusi Parlimen berkenaan.
Beliau dijangka berdepan saingan sengit daripada bekas Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang dikatakan mahu merebut semula kerusi panas tersebut selepas tewas kepada bekas Ahli Parlimen Bentong Wong Tack pada 2018. – Malaysiapost