PRU15: ‘Kerusi dia pun belum tentu’- Anwar sindir Abdul Latiff

PRU15: ‘Kerusi dia pun belum tentu’- Anwar sindir Abdul Latiff

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim menyindir Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad yang mendakwa kononnya beliau tidak layak untuk dinamakan sebagai calon Perdana Menteri.

Beliau juga merupakan Presiden PKR, berkata kedudukan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu sendiri masih belum pasti untuk mengulas mengenai perkara itu.

“Oh! Latiff? Kerusi dia pun belum tentu,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani,

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Abdul Latiff yang juga bekas Ahli Parlimen Mersing yang mendakwa PH tidak wajar menamakan Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

Ujar Abdul Latiff, ini kerana kes mahkamah difailkan bekas pembantunya, Yusof Rawther, terhadap beliau masih belum selesai.

Katanya, nama yang dicalonkan oleh parti-parti politik sebagai Perdana Menteri perlulah nama yang sesuai dihantar ke Istana Negara.

Sementara itu, Pengerusi PH Melaka Adly Zahari berkata, dakwaan berkenaan sudah lapuk memandangkan isu yang dinaikkan adalah isu berulang yang sering dijadikan propaganda politik parti lawan.

“Apa pun (bentuk) pendakwaan dan sebagainya itu, biarlah mahkamah yang tentukan. Tetapi, dalam masa sama, kita juga harus menilai apa isu sebenarnya. Kerana, isu moral yang selalu ditujukan kepada Anwar adalah isu berulang.

“Tetapi, kalau kita lihat di PH, Anwar adalah calon terbaik berdasarkan pengalaman, kesungguhan dan segala pengalaman beliau. Dan rakyat Malaysia sepatutnya beri beliau peluang untuk buktikan beliau boleh laksanakan tugas dan tanggungjawab,” katanya. – Malaysiapost

Komen