PRU15: PKR umum nama calon berprofil tinggi hari ini
PKR akan membuat pengumuman bagi menamakan calon-calon berprofail tinggi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) petang ini.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menerusi hantaran ringkas di Facebooknya, sebentar tadi.
Menurut Rafizi, pengumuman terbabit akan dibuat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi satu sidang media jam 2 petang di Ibu pejabat PKR, Petaling Jaya.
“PKR akan membuat satu pengumuman menamakan calon-calon berprofail tinggi dan kemasukan tokoh-tokoh pelbagai latar belakang dalam PRU15 ini.
“Justeru, orang ramai dijemput mengikuti pengumuman secara langsung melalui Facebook secara live,” tulisnya.
Pada 6 Oktober lalu, PKR membuka permohonan pencalonan kepada ahli, pemimpin dan mana-mana individu yang layak untuk mencalonkan diri sebagai calon parti itu bagi PRU15.
Rafizi Ramli berkata, langkah tersebut diambil selepas parti itu berpandangan proses pencalonan sedia ada perlu dirombak dan ditambah baik, bagi memastikan hanya calon memenuhi kriteria dan layak boleh diketengahkan.
Beliau berkata, permohonan terbuka yang perlu dibuat sepenuhnya secara dalam talian itu dijangka menarik minat kira-kira 10,000 individu termasuk ahli dan pemimpin yang sedia menamakan diri sebagai calon PRU. – Malaysiapost