Rara sah bertanding kerusi Parlimen Bentong
PENYANDANG kerusi Dewan Undangan (DUN) Ketari, Young Syefura Othman diumumkan sebagai calon DAP di Bentong pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Perkara itu diumum Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke pada sidang media khas pengumuman calon DAP Pahang untuk PRU15 di Ibu Pejabat DAP, hari ini.
Ini bermakna penyandang kerusi Parlimen Bentong, Wong Tack tidak mempertahankan kerusi itu, selepas menewaskan bekas presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada 2018.
Selain itu, DAP turut mengumumkan tiga calon lain iaitu Chow Yu Hui (Parlimen Raub), Chiong Yoke Keong (Parlimen Cameron Highlands) manakala Tengku Zulpuri Shah Raja Puji di Parlimen Lipis.
Bagaimanapun, menurut Anthony, Zulpuri turut akan diturunkan bertanding di salah sebuah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan diumumkan minggu hadapan.
Mengulas pencalonan Young Syefura, Anthony berkata, PH mengambil langkah berani meletakkannya di kerusi Parlimen berkenaan berdasarkan keputusan startegik yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti.
Katanya, ia adalah bagi memastikan hala tuju dan masa depan DAP ke arah kepalbagaian kaum dan hala tuju parti itu terus berkembang.
“DAP pusat telah memberi keyakinan penuh kepada calon wanita Melayu Young Syefura Othman atau Rara. Kesemua calon yang ditonjolkan bukanlah muka baharu tetapi mereka hanya baharu di peringkat Parlimen.
“Jadi, ini merupakan satu strategi yang dipertimbangkan oleh DAP, kita letakkan muka baharu tetapi dengan pengalaman,” katanya.
Sebelum ini, Young Syefura mengakui bersedia untuk bertanding di kerusi Parlimen Bentong jika diarahkan DAP untuk berbuat demikian pada PRU15.
Menurut Young Syefura, ia adalah satu pengiktirafan dan kepercayaan besar parti sekiranya beliau diberi peluang untuk bertanding di kerusi Parlimen berkenaan.
Beliau dijangka berdepan saingan sengit daripada Tiong Lai yang dikatakan mahu merebut semula kerusi panas tersebut selepas tewas kepada Wong Tack pada 2018. – Malaysiapost