Rina tumpu Parlimen Sepang

Rina tumpu Parlimen Sepang

SPEKULASI membabitkan Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd Harun yang dikatakan tidak akan mempertahankan Parlimen Titiwangsa pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) semakin hangat diperkatakan.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, kini dilihat memberi tumpuan yang lebih di kawasan Parlimen Sepang.

Ia berdasarkan pembabitannya dalam pelbagai program yang dianjurkan di kawasan Sepang sejak Parlimen dibubarkan dan keadaan itu boleh dilihat melalui beberapa hantaran di laman Facebook rasminya.

Menerusi beberapa hantaran di laman sosial berkenaan, Rina dilihat menghadiri program di kawasan Parlimen Sepang sejak 15 Oktober lalu termasuk melawat Hospital Cyberjaya yang baru siap dibina, semalam.

Sementara itu, program terbaru hasil inisiatifnya bagi penduduk Sepang adalah minyak motosikal percuma.

“Berita baik buat warga Sepang! Program isi minyak motosikal percuma akan diadakan di Petronas Taman D’Menara Bukit Changgang pada jam 9 malam Jumaat ini.

“Khusus buat pemilik motosikal berkapasiti 150cc ke bawah dan terhad kepada 500 buah motosikal terawal,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan Ketua Bersatu Bahagian Sepang, Datuk Suhaimi Ghazali, memaklumkan sudah menyerahkan nama tiga calon untuk dipertimbangkan bertanding mewakili Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Sepang pada PRU-15.

Beliau dilaporkan berkata, dua calon berkenaan, termasuk seorang wanita dipilih dari kalangan Ahli Jawatankuasa Bersatu Bahagian Sepang yang juga penduduk tempatan.

Pada PRU-14, Rina yang bertanding untuk Bersatu atas tiket Pakatan Harapan (PH) berjaya merampas kerusi Parlimen Titiwangsa daripada penyandang, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mewakili Barisan Nasional (BN). – Malaysiapost

Komen