Steven Sim atur teksi percuma buat dua beranak OKU

Steven Sim atur teksi percuma buat dua beranak OKU

AHLI Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong hiba melihat dua beranak Orang Kelainan Upaya (OKU) cuba melintas jalan raya yang sesak bagi mendapatkan rawatan di sebuah klinik.

Beliau berkata, ketika kejadian si anak sedang menolak kerusi roda ibunya seorang OKU bagi mendapatkan rawatan bulanan di Klinik Kesihatan Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

“Saya terus menjadi hiba apabila Albab kata dia selalu menolak kerusi roda untuk hantar ibu ke sini sana. Kadang kala sampai terpaksa tolak kerusi roda berjalan kaki lebih dua jam pergi balik untuk hantar ibu ke klinik setiap bulan.

“Hati saya bertambah sayu bila dapat tahu rupa-rupanya anak soleh ini seorang OKU pembelajaran. Ya Tuhan, Engkau peliharalah Albab anak soleh ini demi kasih sayangnya kepada ibu tua,” katanya dalam hantaran Facebook.

Chee Keong berkata, kerana ada urusan untuk ke mesyuarat beliau terpaksa menggunakan perkhidmatan Grab untuk membawa dua beranak itu ke klinik.

Katanya, beliau juga berjanji akan melawat ke kediaman mereka untuk membantu meringankan beban seharian dua beranak OKU itu.

Ujar Chee Keong, beliau telah mengaturkan teksi percuma untuk membawa Albab dan ibunya ke klinik setiap bulan.

“Tak perlu susah susah jalan kaki menolak kerusi roda.

“Albab anak yang baik, sayangkan ibu, hatinya begitu suci sekali. Steven pohon tumpang amal mulia Albab itu. Semoga kita semua menjadi macam Albab anak soleh,” katanya. – Malaysiapost

Komen