Tiada sebarang halangan terhadap siasatan buku Tommy Thomas – Tun M
BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau tidak ada sebarang halangan terhadap siasatan yang dibuat terhadap buku memoir Tan Sri Tommy Thomas.
Menurutnya, jika ada asas terhadap tuduhan yang dibuat terhadap bekas Peguam Negara itu mahupun beliau sendiri, maka tindakan undang-undang boleh diambil.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, beliau pelik sehingga kini tiada sebarang siasatan atau tindakan terhadap Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang jelas melakukan pelbagai kesalahan semasa menjadi Peguam Negara sebelum Thomas.
“Kesalahannya melepas Datuk Seri Najib dari sebarang tindakan undang-undang juga jelas menunjuk Apandi terbabit di dalam menutup skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Bagaimana boleh Apandi sebagai seorang Peguam Negara dengan mudah melepas Najib sedangkan sembilan hakim, bermula dengan seorang hakim mahkamah tinggi, tiga hakim mahkamah rayuan dan lima hakim mahkamah persekutuan, kesemuanya mendapati Najib bersalah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Mahathir berkata, bahkan seorang Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azimah Omar pada 23 Mei lalu, menolak saman fitnah Apandi terhadap Lim Kit Siang.
Beliau juga memetik kenyataan Azimah yang menyatakan “rasa meluat mahkamah terhadap betapa kejinya kenyataan Apandi yang bercanggah, mengelak dan melakukan penipuan yang jelas.”
“Berikutan kenyataan Azimah, banyak laporan polis telah dibuat terhadap Apandi tetapi tiada sebarang tindakan diambil.
“Sebaliknya Apandi diberi pampasan jutaan ringgit oleh kerajaan kerana kerajaan terdahulu telah menamatkan perkhidmatannya kerana dia gagal menjalankan tugasnya,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata tidak cukup dengan pampasan, Apandi telah dilantik mengetuai jawatankuasa siasatan tuntutan Pulau Batu Puteh.
Kata Dr Mahathir, beliau sudah menduga setiap kali bersuara mengenai salah laku kerajaan akan timbul perkara-perkara yang mengaitkan namanya supaya menutup mulut.
“Mereka boleh cuba, tapi saya mahu ingatkan mereka bahawa selagi ada hayat, saya tidak akan bisu, buta atau tuli apabila melihat kemungkaran yang mereka lakukan,” katanya. – Malaysiapost