Umno tiada kuasa bebaskan Najib – PM
UMNO tiada kuasa untuk membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini dipenjarakan berhubung kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC INternational.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan konsisten untuk tidak mencampuri sistem kehakiman, begitu juga Umno mengambil pendirian sama.
“Pengampunan (ke atas Najib) adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong, bukan kuasa parti.
“Saya nak sebutkan kerajaan konsisten dengan pendirian bahawa kita tak campur keputusan mahkamah, Umno pun buat ketetapan, kita tak campur urusan mahkamah.
“Untuk pembebasan Datuk Seri Najib, ada dua tindakan dilakukan peguam beliau, pertama semakan kehakiman, iaitu mahkamah yang akan tentukan.
“Kedua, permohonan dari segi pengampunan oleh Lembaga pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong,” katanya hari ini.
Beliau ditemui media selepas merasmikan Kompleks Media City, Angkasapuri Kota Media di ibu negara, hari ini.
Perdana Menteri mengulas dakwaan pembangkang kononnya Umno akan membebaskan Najib jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sebelum ini, Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad meramalkan Najib akan dibebaskan dari penjara jika BN menang PRU15. – Malaysiapost