Walau ke Sabah sekali pun, yang penting menangkan PH – Nik Omar
WALAUPUN dihantar ke Sabah sekali pun, yang penting untuk menangkan PH (Pakatan Harapan), kata Nik Omar Nik Abdul Aziz.
Anak Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu sedia bertanding di mana sahaja kerusi yang ditentukan parti demi memastikan kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Perak ke? Kelantan ke? Masih dalam Malaysia. Soal parti nombor dua, sebab kira dalam satu payung kita bincang dalam PH,” katanya pada sidang media di Petaling Jaya, hari ini.
Pada sidang media itu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Nik Omar akan mewakili PH di satu kerusi Parlimen di Perak pada PRU15.
Namun Anwar tidak mendedahkan kerusi mana bakal ditandingi oleh bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia itu.
Pada PRU14, Nik Omar bertanding di Dewan Undangan Negeri Chempaka di kubu kuat Allahyarham bapanya namun tewas kepada calon PAS.
Mengulas lanjut, Nik Omar berkata, beliau berhasrat meneruskan legasi ayahnya sebagai pemimpin.
Ditanya sama ada beliau telah berpindah dari Parti Amanah ke PKR, Nik Omar menegaskan, soal parti adalah perkara nombor dua kerana yang penting Amanah juga berada dalam PH. -Malaysiapost