Wan Saiful yakin wujud cubaan beli pemimpin PN dalam tempoh terdekat

Wan Saiful yakin wujud cubaan beli pemimpin PN dalam tempoh terdekat

KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yakin akan berlaku cubaan untuk ‘membeli’ pemimpin dan tokoh daripada Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Saya tidak terkejut jika dalam tempoh dua hingga tiga minggu ini akan ada percubaan untuk membeli petugas dan tokoh-tokoh tertentu daripada mana-mana parti komponen PN,” katanya dalam video yang dimuatnaik di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, ia merupakan satu strategi biasa yang digunakan pihak lawan ketika menghampiri Pilihan Raya Umum (PRU).

“Bila sahaja PRU akan ada orang keluar parti konon-konon nak protes. Malah, yang terkini berlaku kepada Bersatu, apabila Ketua Bahagian Padang Terap (Datuk Syed Sobri Syed Hashim) mengumumkan keluar parti.

“Antara yang dia sebut (alasan keluar parti) kerana dia tak puas hati sebab tak dapat peruntukan. Namun, dalam pengumumn sama, dia sebut akan menyokong Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Keadaan ini sekali gus menimbulkan persoalan, sebab dia komplen tak dapat peruntukan tiba-tiba sokong Umno-BN. Banyak mana peruntukan yang kamu dapat?,” soalnya.

Justeru, Wan Saiful mengingatkan ahli dan pemimpin parti itu supaya berhati-hati dengan gerakan berkenaan, selain mengingatkan bahawa harta dan kuasa tidak akan kekal selama-lamanya.

Kelmarin, Syed Sobri mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta merta, selepas hilang kepercayaan terhadap kepimpinan.

Syed Sobri mendakwa, turut mengambil tindakan sama adalah lebih 1,000 ahli parti bahagian itu dan empat ketua serta ahli jawatankuasa (AJK) beberapa cawangan di Padang Terap.

Beliau berkata, berikutan itu, pihaknya kini memilih mendokong BN dan akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid, sekiranya beliau dicalonkan.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Saiful mendakwa DAP sedang mengatur calon Melayu untuk bertanding di kawasan majoriti kaum itu pada PRU15.

Bagaimanapun, beliau berkata usaha itu tidak akan berhasil kerana rakyat tahu siapa juga calon yang ditampilkan DAP pasti akan membawa ideologi dan pemikiran parti itu.

“Rakyat Malaysia tahu bahawa agenda DAP ini tidak sesuai dengan situasi masyarakat yang majmuk dan harmoni dalam negara. Fahaman dan ideologi tetap berhaluan kiri.

“Letaklah calon DAP mana sekalipun, hakikatnya mereka tetap mewakili suara dan pemikiran DAP,” katanya. – Malaysiapost

Komen