Wong Tack umum tanding atas ‘tiket rakyat’ di Bentong
PENYANDANG kerusi Parlimen Bentong, Wong Tack mengumumkan akan bertanding atas tiket Bebas di kawasan Parlimen berkenaan selepas digugurkan sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) oleh pucuk pimpinan DAP.
Menurutnya, keputusan itu dibuat atas tuntutan tanggungjawab terhadap rakyat di kawasan berkenaan.
“Saya ingin mengumumkan saya akan mempertahankan kerusi Parlimen Bentong atas ‘tiket rakyat’. Seperti diumumkan DAP, nama saya tidak diisi sebagai calon di Parlimen Bentong untuk PRU-15.
“Saya dimaklumkan tidak termasuk dalam ‘strategi besar’ DAP bagi PRU-15” katanya mengumumkan keputusan itu dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di laman Facebooknya petang tadi.
Dalam sidang media itu, beliau turut membangkitkan mengenai persefahaman antara DAP dan gerakan Himpunan Hijau pada 2013, dengan beliau yang juga Pengerusi Himpunan Hijau dicalonkan untuk bertanding di Bentong dalam PRU-13.
Dia berkata, Setiausaha Agung DAP ketika itu, Lim Guan Eng bersetuju pencalonannya akan memberi impak positif kepada Pakatan Rakyat untuk memenangi kerusi di Bentong.
“Hari ini, DAP memutuskan untuk menamatkan persefahaman ini. Saya ingin menjelaskan bahawa rakyat menentukan jalan dan takdir mereka sendiri. Pilihan di tangan kita.
“Kami juga tidak berminat dengan permainan politik, khususnya politik parti. Rakyat bukan buah catur.
“Kami di sini untuk membina platform untuk kuasa rakyat sebenar, untuk menanam benih harapan bukan sahaja di Bentong, tetapi untuk negara,” katanya.

Terdahulu Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari, Young Syefura akan bertanding di Parlimen Bentong.
Anthony Loke percaya Young Syefura adalah calon boleh menang di Bentong bukan hanya berdasarkan pemerhatian, tetapi tinjauan yang dijalankan DAP di kawasan berkenaan.
Beliau turut menjelaskan Wong Tack enggan menerima cadangan agar beliau ditempatkan sebagai calon di kerusi Parlimen Cameron Highlands. – Malaysiapost