Anwar ‘lari’ ke Tambun kerana takut ditolak pengundi Melayu, dakwa Azmin

Anwar ‘lari’ ke Tambun kerana takut ditolak pengundi Melayu, dakwa Azmin

KEPUTUSAN Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim, bertanding kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana takut ditolak pengundi Melayu di Gombak.

Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut mendakwa gabungan itu juga mahu mewujudkan satu lagi ‘Pulau Pinang’ di Perak.

“Tinggalkan Port Dickson nak masuk bertanding di Gombak. Akhirnya lari ke Tambun pula.

“Sebab kawasan Gombak ni majoriti Melayu. Orang Melayu tak akan terima orang yang rakus kuasa. Jadi dia (Anwar) lari ke kawasan yang kurang pengundi Melayu.

“Orang Melayu, Cina dan India kena faham kita tidak boleh terima parti perkauman sempit dan kita kena tolak PH dalam PRU15 nanti,” katanya seperti dilaporkan FMT.

Anwar sebelum ini dilaporkan tidak menolak kemungkinan bertanding di Parlimen Gombak pada PRU15, yang disandang bekas timbalannya, Mohamed Azmin.

Katanya, beliau juga memilih untuk bertanding kerusi ‘pengkhianat’, berikutan kerusi Port Dickson disandangnya kini lebih kukuh, berbanding 2018.

Bagaimanapun, Anwar pada 20 Oktober lalu mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun dengan berkata, beliau tidak memilih kawasan yang mudah dimenangi untuk bertanding.

Beliau meninggalkan kerusi Parlimen Port Dickson yang dimenanginya dengan majoriti 23,560 undi, selepas menewaskan enam pencabarnya daripada PAS dan bebas pada pilihan raya kecil Oktober 2018.

Kerusi Parlimen Tambun kini disandang Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, yang juga Timbalan Presiden Bersatu.

Ahmad Faizal memenangi kerusi itu dengan majoriti 5,320 undi pada PRU14, menewaskan calon Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan calon PAS, Ibrahim Zakaria. – Malaysiapost

Komen