Bicara kes komunikasi seksual usahawan kosmetik Julai tahun depan
PERBICARAAN kes usahawan kosmetik, Safiey Ilias yang berdepan empat pertuduhan, termasuk melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap dua remaja lelaki melalui aplikasi Instagram, akan bermula 24 Julai 2023 di Mahkamah Sesyen Ampang.
Hakim Norhazani Hamzah menetapkan empat hari bermula 24 hingga 27 Julai tahun depan untuk perbicaraan kes Safiey, 28, atau nama sebenarnya, Mohd Safiuddin Ilias semasa sebutan kes itu hari ini, lapor Bernama.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurhashimah Hashim, berkata pihaknya akan mengemukakan 12 saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes berkenaan.
Safiey Ilias yang diwakili peguam, Harjeet Singh Sidhu didakwa atas dua pertuduhan berkomunikasi secara seksual dengan dua mangsa menerusi Instagram di kediamannya di Bandar Baru Bangi pada jam 9 pagi, 9 Jun 2021.
Penyanyi lagu ‘Syinta Gila’ itu juga berdepan dua pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal dengan menggoyang-goyang payudara di hadapan mangsa di lokasi, masa dan tarikh sama.
Dia dituduh mengikut Seksyen 11(1)(a) dan Seksyen 15 (a)(i) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Seksyen 11(1)(a) memperuntukkan hukuman maksimum penjara tiga tahunm manakala Seksyen 15 (a)(i) membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – Malaysiapost