Buku Tommy Thomas: Dakwaan Majlis Peguam tidak berasas

Buku Tommy Thomas: Dakwaan Majlis Peguam tidak berasas

KENYATAAN Majlis Peguam berhubung kesaksamaan dan keupayaan siasatan Pasukan Petugas Khas (PPK) mengenai buku kontroversi Tan Sri Tommy Thomas, secara tidak berpihak sebagai tidak berasas dan tidak benar sama sekali.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjelaskan PPK ditubuhkan dengan persetujuan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 22 Disember 2021.

“PPK telah mencari dan mengesahkan fakta serta melaksanakan analisis mendalam terhadap setiap pemerhatian sebelum merumuskan semua dapatan dalam laporan yang telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 30 September 2022.

“Semua ahli PPK telah menjalankan tanggungjawab hampir lapan bulan secara bebas tanpa campur tangan mana-mana pihak dan semua penelitian serta dapatan dikemukakan berpandukan kepada 19 sesi konsultasi bersama pelbagai pihak berkepentingan.

“Di samping itu, PPK telah meneliti pelbagai maklumat dan dokumen dibekalkan oleh agensi-agensi kerajaan berkaitan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Majlis Peguam, Karen Cheah Yee Lyn yang bimbang dengan penyahklasifikasian laporan mengenai dakwaan dalam memoir ‘My Story: Justice in the Wilderness’ dan mempersoal kesaksamaan pasukan petugas yang menyiasat dakwaan itu.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, bagi memastikan setiap pandangan diambil kira, PPK telah mengambil inisiatif menjemput wakil Majlis Peguam Malaysia memberikan pandangan terhadap isu berbangkit dalam buku tulisan Tommy itu.

Namun, tegasnya, Majlis Peguam enggan mengambil bahagian dalam sesi konsultasi dengan PPK.

Sehubungan itu, kata beliau, persepsi negatif yang cuba ditimbulkan Majlis Peguam Malaysia berhubung kesaksamaan dan keupayaan PPK melaksanakan tanggungjawab secara tidak berpihak disifatkan sebagai tidak berasas.

“PPK pernah memberi peluang dan menjemput Majlis Peguam Malaysia untuk memberikan pandangan berhubung isu berbangkit dalam buku berkenaan.

“Saya ingin menegaskan, bahawa metodologi, perkara yang diteliti dan pihak yang terlibat dalam sesi konsultasi serta pihak yang enggan memberikan kerjasama telah disenaraikan dalam laporan.

“Ini juga menjadi contoh bagaimana PPK telah melaksanakan tanggungjawab secara terbuka dan tidak berpihak,” katanya.

Beliau berkata, PPK turut mengemukakan senarai cadangan penambahbaikan yang memberikan manfaat kepada peningkatan mutu sistem keadilan dan kehakiman di Malaysia untuk diteliti semua pihak berkaitan. – Malaysiapost

Komen