Buku Tommy Thomas: Tindakan PH lari dari masalah sudah dijangka – Zahida

Buku Tommy Thomas: Tindakan PH lari dari masalah sudah dijangka – Zahida

TINDAKAN Pakatan Harapan (PH) yang lepas tangan terhadap hasil siasatan Pasukan Petugas Khas (STF) terhadap buku memoir Tan Sri Tommy Thomas, sudah dijangka.

Malah, Ketua Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan, berkata PH sentiasa lari daripada masalah dengan mengambil jalan mudah menyalahkan Umno.

“Sudah dijangka, PH akan lari daripada masalah mereka. Paling mudah sebenarnya salahkan Umno,” katanya dalam menerusi Facebook, hari ini.

Jelas Zahida lagi, sedangkan satu dunia mengetahui Tommy adalah Peguam Negara lantikan kerajaan PH selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

“Tommy sudah banyak ‘berjasa’ sebagai peguam negara, menjayakan agenda bantu bebaskan kawan, dan dakwa musuh-musuh politik PH waktu itu,” katanya.

Menurut Zahida, sebelum ini Tommy dilaporkan adalah peguam peribadi kepada pemimpin tertinggi DAP.

“Sekarang kalian nak kata dia takda kaitan dengan PH?,” soalnya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, menolak gesaan agar gabungan itu mengulas mengenai penemuan panel kerajaan berhubung memoir Tommy.

Beliau dilaporkan berkata, PH tidak perlu menjawab untuk Tommy kerana beliau bekas Peguam Negara, bukan pemimpin PH atau ahli mana-mana parti politik. – Malaysiapost

Komen