Difitnah sokong ‘Eljibiti’, Mujahid saman PAS
BEKAS Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengambil tindakan undang-undang terhadap PAS.
Menurut Mujahid, ia susulan tular satu penulisan fitnah bertajuk “Mantan Menteri Agama PH Sokong Eljibiti?” dimuatnaik di Facebook PAS pada 16 Oktober lalu.
Katanya, beliau memulakan tindakan undang-undang dengan menghantar surat tuntutan fitnah kepada PAS hari ini melalui firma guaman Tetuan Akram Hizri Azad & Azmir.
Tambahnya, pihak Pejabat Agung PAS juga telah mengaku-terima surat tuntutan tersebut di mana mereka telah dituntut mematuhi tuntutan-tuntutan berikut dalam tempoh 48 jam, antara lain:
1. Memadamkan tulisan fitnah tersebut;
2. Menarik balik tulisan fitnah tersebut;
3. Meminta maaf kepada Datuk Seri Dr Mujahid; dan
4. Membayar gantirugi atas kerosakan reputasi Datuk Seri Dr Mujahid.
Mujahid berkata, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang yang sama kepada mana-mana pimpinan PAS yang tidak serik-serik membuat tulisan-tulisan fitnah dan mengaitkannya dengan LGBT. – Malaysiapost