Hati-hati musim banjir – Tuan Ibrahim
PENDUDUK yang terlibat banjir sekali lagi diingatkan supaya berhati-hati agar tiada kejadian tidak diingini berlaku sepanjang musim hujan ini.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata ini kerana banyak kawasan di Johor, Melaka, Pahang dan Kelantan telah dinaiki air akibat hujan lebat petang semalam.
“Angkatan Pertahanan Awam (APM), bomba dan lain-lain (agensi berkaitan) telah menyalurkan bantuan yang sepatutnya.
“Mereka juga sudah menempatkan mangsa terjejas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook, hari ini.
Menurut Tuan Ibrahim, hujan lebat, angin kencang dan ribut petir dijangka berlaku hingga akhir Oktober 2022.
Media melaporkan tiga PPS dibuka di Kedah iaitu satu di Kubang Pasu dan dua di daerah Padang Terap berikutan banjir kilat akibat hujan lebat, sejak semalam.
Tiga PPS itu menempatkan seramai 164 mangsa daripada 50 keluarga di dua daerah berkenaan. – Malaysiapost