Jamal beri bayangan tanding di Sungai Besar

Jamal beri bayangan tanding di Sungai Besar

KETUA Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos memberi bayangan akan bertanding di kerusi Parlimen Sungai Besar di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menerusi hantaran di Facebooknya malam ini, Jamal memuatnaik gambarnya berbaju Melayu lengkap berwarna biru sambil mengucapkan syukur.

Dalam hantaran itu, beliau berkata, nasibnya akan ditentukan warga Sungai Besar dan berjanji akan memberikan yang terbaik untuk kawasan diwakilinya.

“Alhamdulillah… selebihnya hanya warga Sungai Besar yang menentukannya.

“Insya-Allah saya pasti akan memberikan yang terbaik untuk kawasan saya. Semoga Allah memberikan yang terbaik untuk semua,” tulisnya.

Beliau turut menulis tanda pagar #P093SungaiBesar sekali gus memberi gambaran akan bertanding di kerusi tersebut.

Pada PRU14 lalu, kerusi Parlimen Sungai Besar dimenangi calon Bersatu yang mewakili Pakatan Harapan (PH), Muslimin Yahaya dengan majoriti 714 undi.

Beliau menawaskan calon BN, Budiman Mohd Zohdi serta calon PAS, Salleh Husin.

Sebelum ini, Jamal pernah menawarkan diri untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Besar. – Malaysiapost

Komen