Jangan ubah suai kenderaan untuk kempen PRU15 – JPJ
ORANG ramai dinasihatkan tidak melakukan pengubahsuaian terhadap kenderaan mereka untuk tujuan berkempen sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim, berkata pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak termasuk parti politik yang berbuat demikian.
Beliau berkata, sekiranya ada kenderaan yang tidak menepati spesifikasi, ia boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715) iaitu salah guna permit dan melakukan modifikasi kenderaan.
“Tidak ada lesen besar untuk mana-mana parti membuat ubah suai kepada kenderaan mereka pada musim PRU ini,” katanya selepas membuat tinjauan Op Advokasi Keselamatan Jalan Raya Bersepadu di Plaza Tol Sungai Besi, di sini, malam tadi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November sebagai tarikh pengundian bagi PRU15, penamaan calon pada 5 November dan pengundian awal pada 15 November.
Zailani berkata, JPJ menjangkakan kenaikan aliran trafik menjelang hari pengundian pada 19 November dan menasihatkan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya. – Malaysiapost