KEMAS lahir 493 graduan SKM, DKM tahun ini

KEMAS lahir 493 graduan SKM, DKM tahun ini

JABATAN Kemajuan Masyarakat (KEMAS) berjaya melahirkan 493 graduan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) tahun ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata mereka adalah pelatih dari Akademi Kemahiran KEMAS Seri Iskandar dan Gopeng, Perak dan Penyelia Kemahiran KEMAS.

“KEMAS memperuntukkan RM2 juta tahun ini untuk melaksanakan program sijil dan diploma tersebut dalam bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang diiktiraf oleh Jabatan Pembanguan Kemahiran (JPK).

“Program TVET di KEMAS mendapat sambutan yang tinggi daripada lepasan sekolah,” katanya selepas Majlis Konvokesyen Kemahiran Malaysia Ke-13 KEMAS, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah KEMAS, Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi dan Setiausaha Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik KPLB, Abdul Kahar Abdullah.

Mahdzir menjelaskan, TVET KEMAS memberi fokus dalam bidang jahitan dan kulinari dengan kos pengajian ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

Beliau berkata, pelajarnya terdiri daripada belia dan beliawanis kumpulan B40 yang berpeluang untuk menguasai kemahiran serta memperoleh sijil dan diploma.

“Kita buka peluang itu untuk direbut oleh mereka yang berminat kerana kemahiran amat berguna kepada mereka sekali gus membuka peluang kepada graduan untuk mendapatkan pekerjaan atau membuka perniagaan sendiri,” katanya.

Menurutnya, KEMAS adalah satu-satunya agensi kerajaan yang melaksanakan program Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia Tahap 5 dalam Bidang Pengurusan Fesyen dan Pakaian.

Setakat ini, katanya, KEMAS telah melahirkan seramai 2,400 orang graduan dalam pelbagai bidang kemahiran sejak tahun 2007.

Sementara itu pada majlis sama, Mahdzir turut menyampaikan Anugerah Khas, Anugerah Ketua Pengarah, Anugerah Ketua Setiausaha (KSU) dan Anugerah Menteri kepada pelatih yang mencapai tahap cemerlang sepanjang tempoh pengajian.

Untuk rekod, seramai 151 graduan adalah penerima DKM manakala 342 pula SKM. – Malaysiapost

Komen