Keputusan mahkamah tak jejas peluang bertanding PRU15 – Lokman Adam
BEKAS Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Lokman Noor Adam berkata keputusan Mahkamah Rayuan semalam mengekalkan hukuman penjara sebulan terhadapnya, tidak menjejaskan peluang untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, mahkamah membenarkan penangguhan sabitan dan hukuman terhadapnya sekiranya beliau memfailkan rayuan atau semakan dalam tempoh 30 hari.
“Ia tidak menjejaskan peluang saya bertanding dalam PRU15. (Hanya) hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan denda tidak kurang dari RM2,000 sahaja akan mengakibatkan saya hilang kelayakan bertanding.
“Setakat ini masih dalam zon selamat. Yang penting rakyat tahu bagaimana pendakwaan terpilih berlaku zaman Pakatan Harapan (PH).
“Yang melapor perasuah dihukum, yang terima rasuah tidak pula didakwa bila bantu pendakwaan menjadi saksi Pendakwa,” katanya.
Sementara itu, Lokman menafikan laporan media bahawa keputusan mahkamah itu adalah kerana beliau mengugut saksi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sebaliknya, Lokman berkata, ia membabitkan kes laporan polis yang dibuat terhadap bekas Pegawai Khas Datuk Seri Najib Razak, Datuk Amhari Efendi Nazaruddi yang dianggap menghina mahkamah.
“Saya telah dijatuhi hukuman sebulan penjara kerana laporan polis tersebut serta sidang media saya yang dianggap menghina mahkamah,” katanya.
Beliau berkata, selain mengekalkan hukuman terhadapnya, Mahkamah Rayuan semalam juga menolak rayuan Peguam Negara untuk meningkatkan hukuman penjara terhadapnya daripada sebulan ke tiga bulan.
“Apa yang berlaku (semalam) Mahkamah Rayuan menolak rayuan keputusan kedua-dua pihak.
“Banyak laporan (media) tidak betul. Ada kata saya ugut, (lapor) permohonan saya ditolak, tapi tak cerita (lanjut). Ramai juga ingat saya didakwa kes rasuah,” katanya.
Semalam media melaporkan, Mahkamah Rayuan memutuskan Lokman kekal dipenjara sebulan mengikut keputusan Mahkamah Tinggi, tahun lalu.
Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman itu terhadap Lokman, selepas didapati bersalah menghina mahkamah kerana mengugut saksi perbicaraan kes 1MDB membabitkan Najib . – Malaysiapost