Mukhriz calon GTA di Jerlun, Amiruddin tanding Kubang Pasu
PRESIDEN Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dinamakan sebagai calon Gerakan Tanah Air (GTA) di Parlimen Jerlun yang disandangnya ketika ini, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Setiausaha Agung Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah pula sekali lagi akan dicalonkan untuk bertanding di kerusi Kubang Pasu yang disandangnya.
Kedua-dua nama tersebut diumumkan Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sidang media khas di Putrajaya hari ini.
Presiden Pejuang itu turut mengumumkan senarai lima lagi calon GTA pada PRU15.
Mereka ialah Datin Che Asmah Ibrahim (Sepang), Mior Nor Haidir Suhaimi (Tapah), Harumaini Omar (Hulu Selangor), Mohd Shaid Rosli (Kuala Selangor) dan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan (Titiwangsa).
Mohd Shaid ketika ini adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeram manakala Harumaini Adun Batang Kali, kedua-duanya di Selangor.
Dr Mahathir seterusnya berkata, nama-nama calon lain termasuk Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya akan diumumkan dari semasa ke semasa.
Sementara itu Mukhriz pula ketika menjawab pertanyaan sama ada bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador akan bertanding mewakili GTA di Parlimen Rembau, meminta semua pihak supaya menunggu pengumuman.
“Adakah Tan Sri Abdul Hamid Bador akan dicalonkan di Rembau? Kita tunggu dan lihat,” katanya.
GTA akan mengumumkan senarai penuh calon pada 2 November ini. – Malaysiapost