Pejuang langgar peraturan SPR, mula kempen lebih awal
PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) telah memulakan kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) meskipun gelanggang pilihan raya akan dibuka secara rasmi pada 5 November ini.
Parti pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu dengan jelas memaparkan logo Pejuang dengan simbol pangkah yang digunakan ketika PRU.
Logo Pejuang menjadi simbol rasmi Gerakan Tanah Air (GTA) pada PRU15 ini.
Berdasarkan video-video pendek yang disiarkan di laman sosial Dr Mahathir, penggunaan logo Pejuang dengan simbol pangkah dipaparkan pada akhir video.

Ia sebagai kempen bagi mengajak pengundi supaya memilih Pejuang dalam PRU yang akan berlangsung 19 November ini.
Berdasarkan pemerhatian Malaysiapost, sekurang-kurang dua video yang disiarkan di Facebook Dr Mahathir tertera perkataan “undilah” yang menyeru pengundi supaya mengundi Pejuang.
Sebelum ini Bersih antara yang lantang menentang mana-mana parti politik termasuk parti kerajaan mahupun pembangkang berkempen lebih awal daripada tarikh yang ditetapan.
Untuk rekod undang-undang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah jelas bahawa kempen parti politik hanya boleh diadakan selepas pengawai pengurus pilihan raya mengumumkan calon pada hari penamaan calon.
SPR menentapkan 5 November sebagai hari penamaan calon dan 19 November hari pembuangan undi bagi PRU15.- Malaysiapost