Pemikiran anggap politik ‘najis’ paling kotor adalah ajaran sesat – Hadi

Pemikiran anggap politik ‘najis’ paling kotor adalah ajaran sesat – Hadi

PEMIKIRAN yang menganggap politik sebagai najis yang paling kotor adalah ajaran sesat, kata Prisiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, pemikiran peningalan penjajah itu mempunyai agenda supaya umat Islam terus menjauhkan diri atau meninggalkan politik.

“Tujuannya juga supaya umat Islam meninggalkan politik dan menyerahkan kuasa negara kepada bukan Islam sahaja dalam berpolitik.

“Sehinggakan, golongan bukan Islam terus menguasai, mentadbir dan menjajah umat Islam, walaupun dikatakan negeri umat Islam telah diberikan kemerdekaan,” katanya menerusi tulisan Minda Presiden PAS, hari ini.

Abdul Hadi berkata, serangan pemikiran terhadap umat Islam dalam aspek politik berlaku dengan cara yang halus, apabila ia diletakkansebagai ‘jenama’ yang dianggap sebagai najis yang paling kotor.

“Politik Islam yang berpandukan hidayah Allah, sangat menakutkan mereka, kerana hilangnya kuasa hawa nafsu yang menjadi perjuangan mereka sejak zaman dahulu sehingga sekarang dan seterusnya.

“Islam yang adil kepada semua dalam masyarakat majmuk dibimbangi akan dapat menawan hati manusia yang hidup bermasyarakat majmuk,” katanya.

Abdul Hadi berkata, kenyataan yang dikeluarkan tanpa asas keilmuan, menunjukkan kejahilan yang bersifat jahiliah.

“Tujuannya supaya umat Islam diperbodohkan. Dahulunya, ia menjadi permainan para orientalis, kini ada dalam kalangan umat Islam yang terpengaruh kerana masalah buta al-Quran yang lebih bahaya daripada buta huruf,” katanya.

Menurut Abdul Hadi, Allah SWT juga menegaskan bahawa politik menjadi salah satu daripada tujuan manusia diciptakan dan berada di atas muka bumi ini.

“Khilafah itu ialah politik mentadbir negara bersama Islam, dijanjikan pahala paling besar kepada sesiapa yang menunaikannya kerana berpandukan hidayah Allah SWT supaya berlaku adil kepada seluruh manusia.

“Sebaliknya, diberikan amaran yang keras kepada sesiapa yang berlaku zalim,” katanya. – Malaysiapost

Komen