PRU15: Anwar seru rakyat terus bersama PH demi masa depan
PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat untuk bersama gabungan itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) demi masa depan negara yang lebih baik.
Beliau yang juga Presiden PKR, berkata kesepakatan rakyat dan PH penting dalam mendepani pelbagai isu mendesak yang gagal ditangani oleh kerajaan ketika ini.
“Kos sara hidup dan masalah inflasi terus mencengkam kehidupan rakyat di bawah dan elit politik terus alpa akan keperluan dan kehendak rakyat.
“PRU15 nanti mesti menjadi penentu kepada masa depan generasi akan datang dan tatanan bagaimana yang akan ditinggalkan untuk anak-anak kita. Kita mesti buat yang terbaik untuk mereka,” katanya.
Terdahulu, beliau menghadiri Program Jelajah PH Selangor di Padang Dewan Kampung Assam Jawa, malam tadi.
Anwar berkata, beliau melihat dukungan masyarakat pelbagai kaum terhadap PH terus kukuh di ambang PRU15 yang semakin hampir.
“Jentera mesti terus komited serta bekerja kuat bagi mempertahankan kemenangan.
“Saya menyeru seluruh masyarakat untuk bersama PH tatkala pelbagai isu mendesak gagal didepani dengan baik oleh pemerintah,” katanya. – Malaysiapost