PRU15: Shahrir Samad umum tidak bertanding
VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad mengulangi pendirian tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketua Umno Bahagian Johor Bahru itu, berkata keputusan itu dibuat kerana beliau perlu ‘membersihkan’ namanya terlebih dahulu di mahkamah.
“Masih ada yang bertanya saya samada saya akan bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada PRU15 November ini.
“Saya telahpun beberapa kali menyatakan saya tidak akan bertanding tetapi akan tetap mengetuai jentera pilihan raya BN untuk menangkan calon kita pada PRU15,” katanya menerusi Facebook.
Menurut Shahrir, beliau ketika ini sedang mempertahankan integriti dan nama baiknya di mahkamah terhadap tuduhan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram.
Katanya, tuduhan pengubahan wang haram itu didakwa telah dilakukan olehnya dengan cara tidak mengisytiharkan penerimaan duit sebagai pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Tidak adil bagi saya meminta pengundi Johor Bharu untuk membersihkan saya. Saya harus membersihkan nama saya dulu melalui proses mahkamah. Itu sebabnya. Tapi tetap BN,” katanya.
Shahrir yang juga bekas Pengerusi Felda, didakwa gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada LHDN.
Pada PRU14, Shahrir adalah antara nama besar BN yang tewas berikutan tsunami politik apabila pengundi dikatakan beralih kepada Pakatan Harapan (PH).
Di kerusi Parlimen Johor Bahru, Shahrir tewas kepada calon PKR, Akmal Nasir yang menang dengan majoriti 19,782 undi apabila meraih 50,052 undi.
Untuk rekod, Shahrir menyandang kerusi Parlimen Johor Bahru selama tujuh penggal sejak 1978 kecuali pada 1990 hingga 1999 yang disandang oleh bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Seri Khaled Nordin. – Malaysiapost