PRU15: Tun M ulangi sedia kerjasama dengan pembangkang

PRU15: Tun M ulangi sedia kerjasama dengan pembangkang

TUN Dr Mahathir Mohamad mengulangi kesediaannya bekerjasama dengan pemimpin pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) walaupun menerima pelbagai kecaman.

Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) itu, berkata ini kerana pendiriannya tetap tidak berubah untuk menjatuhkan kerajaan yang rasuah dan merompak harta negara.

Sehubungan itu, bekas Perdana Menteri berkata, tidak timbul isu sama ada beliau mahu bekerjasama dengan pemimpin pembangkang lain pada PRU15 atau sebaliknya.

“Yang saya tidak pasti ialah jika pemimpin pembangkang hari ini berubah fikiran dan perasaan atau bersedia bekerjasama dengan Umno selepas PRU15.

“Saya juga tidak pasti jika pemimpin pembangkang masih berasakan Umno akan merosakkan negara jika kembali memimpin dan membawa kembali kleptokrat untuk memerintah, ” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook.

Dr Mahathir membuat penjelasan berhubung kenyataan yang mengata dan menghina beliau kerana ‘terhegeh-hegeh’ berjumpa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dapat sokongan sebelum PRU14.

Dr Mahathir menjelaskan, beliau tidak memulakan langkah kecuali dengan mereka yang diyakini berfikiran sama.

“Bagi pemimpin pembangkang lain, kali ini terserah kepada mereka,” katanya.

Pada PRU14, katanya, beliau sanggup bekerjasama dengan Anwar kerana beranggapan negara berdepan kerosakan amat besar akibat perbuatan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kleptokrat dalam kerajaan.

Jelasnya, beliau mengetepikan perasaan peribadi dan sanggup menelan kecaman ‘jilat ludah sendiri’ apabila bertemu musuhnya termasuk Anwar untuk menjatuhkan musuh negara.

“Saya rasa Anwar ketika itu juga berfikir seperti saya dan sebab itu dia sanggup bekerjasama dengan saya. Saya ketika itu, sanggup memulakan langkah jika yang lain tidak sanggup memulakannya.

“Keputusan saya ketika itu, membuahkan hasil hingga pembangkang berjaya jatuhkan kerajaan yang rasuah dan merompak harta negara,” katanya.

Sebelum ini, Dr Mahathir menyatakan kesediaan bekerjasama sekali lagi dengan pemimpin pembangkang yang mempunyai matlamat sama dengan GTA pada PRU15.

Bagaimanapun, ia ditolak pemimpin Pakatan Harapan (PH). – Malaysiapost

Komen