SPR boleh batal, tangguh PRU jika banjir ganggu proses pengundian – NADMA
SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) mempunyai kuasa untuk batal atau tangguh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di kawasan yang terjejas banjir sekiranya mengganggu proses pengundian.
Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pengurusan Pasca Bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Khairul Shahril Idrus, berkata SPR boleh membuat keputusan berkenaan, bergantung kepada situasi bencana itu.
“Jika SPR mendapati keadaan banjir boleh mengganggu pengundi untuk keluar, ganggu proses pengundian, SPR mungkin boleh keluarkan arahan piihan raya di kawasan berkenaan ditangguh atau keputusan dilambatkan.
“Bagaimanapun, jika air sekadar di paras buku lali ia tidak menjadi satu masalah besar untuk meneruskan proses pengundian,” katanya seperti dilapor MalaysiaGazette.
Khairul menjelaskan, SPR sudah ada ketetapan berhubung proses ini berdasarkan standard prosedur yang ada.
“Jadi keputusan untuk membatalkan pilihan raya jika banjir besar berlaku adalah keputusan SPR, bukan NADMA,” katanya.
Menurutnya, NADMA hanya bertindak mengurus bencana, sesuai dengan arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“SPR sudah mempunyai SOP dalam menghadapi pilihan raya di waktu banjir. NADMA bertanggungjawab, menjalankan usaha menyelamat bantu mangsa (meskipun ia pada hari mengundi),” katanya.
Sebelum ini, SPR menetapkan PRU15 pada 19 November dengan tarikh penamaan calon pada 5 November manakala bagi pengundian awal, 15 November.
Malaysia diramalkan mengalami Monsun Timur Laut pada penghujung bulan November ini – Malaysiapost