Tekanan dalam Kabinet PH amat luar biasa – dakwa Muhyiddin
TAN Sri Muhyiddin Yassin mendakwa pengalaman berada dalam Kabinet Pakatan Harapan (PH) sangat berlainan dan amat luar biasa berbanding Kabinet sebelum ini.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa, tekanan yang diterima daripada menteri PH amat luar biasa, lebih memburukkan keadaan banyak permintaan mereka boleh membawa mudarat kepada orang Melayu, umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia.
“Sebab itu saya beritahu Tun Dr Mahathir Mohamad kita tidak boleh berada lama bersama PH, lagi lama Bersatu dalam PH, lagi merosot sokongan orang Melayu kepada kita,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook, hari ini.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menegaskan beliau tidak akan sesekali mengkhianati bangsa, agama dan negara sekalipun ditekan pelbagai cara oleh musuh politik termasuk dengan gelaran pengkhianat.
“Saya rela digelar sebagai pengkhianat oleh PH daripada menjadi pengkhianat kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin turut mengulangi matlamat PN adalah mewujudkan sebuah kerajaan dan kepimpinan yang baik, prihatin, amanah dan penuh integriti yang dapat merencanakan pembangunan menyeluruh sehingga Malaysia kembali menjadi negara hebat.
Katanya, beliau percaya apabila hal ehwal negara diurus dan ditadbir dengan betul, beramanah dan bertanggungjawab, rakyat sudah tentu dapat menikmati hidup lebih selesa dan selamat.
“Bagi mencapai cita-cita ini setiap daripada kita perlu menggunakan hak mengundi pada 19 November depan untuk memilih sebuah parti iaitu PN yang faham dan berupaya membela nasib hidup rakyat,” katanya.
Muhyidin juga menyeru ibu bapa agar dapat memainkan peranan menyedarkan anak-anak yang sudah layak, keluar mengundi dan memilih PN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 dalam keadaan apa sekali pun. – Malaysiapost