Tulang rusuk kanan Mafarikha terpaksa ditebuk

Tulang rusuk kanan Mafarikha terpaksa ditebuk

PENYANYI Mafarikha Akhir, 29, yang dijangkiti Covid-19 tahap lima memaklumkan tulang rusuk kanannya terpaksa ditebuk selepas paru-paru dilaporkan tidak stabil.

Penyanyi lagu Angin yang mesra dengan panggilan Mafa berkata, kemungkinan paru-parunya bermasalah bukan disebabkan Covid-19 tetapi dipercayai batuk kering (TB).

“Disebabkan kandungan cecair dalam paru-paru kanan sekejap stabil dan tidak, hospital sarankan untuk tebuk tulang rusuk kanan sebab nak periksa sama ada kandungan cecair itu jenis lendir, darah atau air.

“Punca sebab rasanya bukan Covid-19 tapi mungkin TB,” katanya menerusi Instagram, hari ini.

Menurut Mafa yang kini dirawat di Hospital Kajang, prosedur itu akan dilakukan petang ini dalam keadaan separuh sedar.

“Dia akan bius dan guna peralatan baru. Ada kemungkinan untuk terkena paru-paru tetapi saya berharap tidak. Kita tengok jenis cecair apa dan buang sahaja.

“Moga segalanya berjalan lancar, doakan adik ya,” katanya.

Sebelum ini, Mafa dimasukkan ke wad kritikal hospital berkenaan selepas dijangkiti Covid-19 tahap lima dan berdepan kebimbangan sekiranya dia ditidurkan.

Menurutnya yang baru pulang dari Istanbul, Turkiye bersama suaminya, Muhammad Zariq Noorulyusaa, dia mengalami muntah-muntah serta badan menggigil pada tiga hari terakhir di sana.

Bagaimanapun, suaminya dalam keadaan sihat dan ujian Covid-19 dibuatnya juga negatif. – Malaysiapost

Komen