Agong ingatkan rakyat Malaysia di Singapura untuk mengundi
RAKYAT Malaysia yang menetap di Singapura diingatkan supaya menunaikan tanggungjawab untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), yang ditetapkan pada 19 November ini.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah walaupun jauh sikit tetapi pengundi yang layak mesti menggunakan hak untuk keluar mengundi.
“Saya ingin mengingatkan tanggungjawab tuan-tuan dan puan-puan untuk mengundi pada pilihan raya umum yang akan datang.
“Walaupun (tinggal) jauh sikit tetapi hati mesti tetap menunaikan tanggungjawab yang lebih berhak sebagai pengundi,” titahnya.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Santapan Malam bersama diaspora Malaysia di Hotel Shangri-La, Singapura, malam tadi.
Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke majlis santapan itu yang turut disertai anakanda Seri Paduka Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 19 November ini sebagai tarikh membuang undi untuk rakyat Malaysia melaksanakan tanggungjawab pada PRU-15.
Urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara telah dibuka bermula 10 Oktober untuk pilihan raya umum berkenaan dan bagi permohonan undi pos untuk kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan Kategori 1C (Agensi/Organisasi) dilaksanakan secara dalam talian.
Tarikh tutup permohonan adalah pada 2 November bagi kategori 1A (petugas pilihan raya, ahli/pegawai SPR, polis, tentera, dan petugas media); 23 Oktober bagi kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara); dan 26 Oktober bagi kategori 1C (agensi/organisasi).
Sementara itu, Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang menetap di Singapura dan telah saling membantu antara satu sama lain daripada pelbagai aspek ketika kedua-dua negara berdepan pandemik Covid-19.
Seri Paduka berdua kini dalam rangka lawatan negara ke Singapura selama empat hari yang berakhir hari ini.
Lawatan negara itu mencerminkan hubungan dua hala yang rapat serta istimewa antara Malaysia dan Singapura bermula sejak 57 tahun lepas. – Malaysiapost