Anwar tak jawab isu sokong Israel – Ahmad Faizal

Anwar tak jawab isu sokong Israel – Ahmad Faizal

CALON Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa untuk segera menyatakan sama ada akan menarik balik atau tidak kenyataannya menyokong rejim Israel di akhbar Wall Street Journal pada tahun 2012.

Gesaan itu dibuat Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mahu mesej disampaikan kepada Israel bahawa semua pemimpin di Malaysia tidak akan berkompromi dengan rejim berkenaan.

Beliau turut menggesa supaya Anwar tidak mengelak daripada menjawab atau memberi penjelasan yang kabur berhubung perkara itu.

“Anwar mengelak dan langsung tidak menjawab persoalan saya iaitu sama ada beliau akan menarik balik kenyataan beliau “menyokong kesemua ikhtiar untuk membela keselamatan negara Zionis Israel itu daripada apa-apa ancaman keselamatan.” Inilah pendirian Anwar kepada akhbar Wall Street Journal dalam tahun 2012 yang membawa kepada kecaman Duta Palestin terhadapnya.

“Mengelak daripada menjawab atau memberi penjelasan yang kabur sudah menjadi ciri Anwar Ibrahim yang ramai mengenali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Faizal yang juga penyandang Parlimen Tambun, mengulas mengenai kenyataan Anwar di Ipoh pada 27 Oktober 2022 yang menafikan bahawa beliau adalah penyokong rejim Israel dan kononnya adalah pejuang nombor satu bagi rakyat Palestin di Malaysia.

Beliau menyeru Presiden PKR itu atau mana-mana pemimpin lain agar mengelak dari sifat yang takabbur dengan mengelar diri sebagai pejuang nombor satu Palestin.

“Saya sendiri telah ditangkap oleh tentera komando Israel pada tahun 2010 bersama lima orang aktivis Malaysia ketika menaiki kapal flotilla Rachel Corrie untuk memberi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

“Tetapi saya tidak pernah menepuk dada dan menggelar diri sebagai pejuang palestin nombor satu,” katanya.

Ahmad Faizal berkata, Anwar turut berbangga dalam kenyataannya di Ipoh bahawa beliau kononnya rapat dengan pemimpin Palestin terkemuka Yasser Arafat.

“Jika benar, kenapa susah sangat bagi beliau untuk menarik balik kenyataan kontroversinya yang menyokong jaminan keselamatan kepada Israel, manakala yang ditindas dan dibunuh harian adalah rakyat Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak?” katanya. – Malaysiapost

Komen