Bertanding di Pekan, Nizar serah pada pucuk pimpinan

Bertanding di Pekan, Nizar serah pada pucuk pimpinan

DATUK Mohd Nizar Najib menyerahkan kepada pucuk pimpinan Umno bagi menentukan kedudukannya sama ada bertanding di Parlimen Pekan atau sebaliknya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mohd Nizar yang disebut-sebut bakal menggantikan bapanya, Datuk Seri Najib Razak di Parlimen Pekan menyatakan kesediaan untuk dicalon di kerusi Parlimen atau satu daripada empat Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen itu.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Pekan itu berkata, beliau mahu kedudukannya sebagai calon PRU15 dinilai berdasarkan prestasi dan kebolehan sebagai ahli Umno, bukannya legasi keluarga Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein mahupun Najib.

Jelasnya, pengaruh keluarga tidak menjamin kedudukannya sebagai calon pilihan raya, sebaliknya ia dinilai berdasarkan prestasi dan perkhidmatan.

“Ramai cakap saya daripada keluarga politik tetapi ia tak semestinya menjamin kejayaan dalam bidang tersebut. Akhirnya orang menilai kita berdasarkan prestasi dan perkhidmatan.

“Yang penting bukan ahli keluarga, tetapi penerimaan orang ramai terhadap seseorang wakil rakyat.

“Malah kepemimpinan parti selalu tekankan konsep WALI iaitu seseorang calon dikira mempunyai potensi untuk menang dan disukai rakyat, itu kriteria ditekan oleh parti.
“Sekalipun dipilih, kita kena tunjukkan prestasi agar diterima warga pengundi, bukannya menumpang pengaruh legasi Tun Razak,” katanya memetik Utusan Malaysia.

Dilaporkan setakat ini lima calon berkelayakan sedang dinilai Umno untuk bertanding di Parlimen Pekan bagi mewakili Barisan Nasional (BN).

Mohd Nizar berkata, bukan tugas mudah mempertahan Parlimen Pekan dan empat kerusi DUN iaitu Pulau Manis, Peramu Jaya, Bebar dan Chini yang masih dikuasai BN walaupun berdepan tsunami politik PRU14.

Katanya, kerusi-kerusi itu berisiko tewas di tangan lawan sekiranya BN gagal memahami sentimen dan denyut nadi rakyat.

“Secara tradisi memang benar kubu kuat Umno, tetapi tidak bermakna kita boleh duduk selesa tanpa persiapan. Parlimen Pekan pernah dua DUN tewas pada 1999 iaitu ketika gelombang reformasi, malah ayahanda saya, Datuk Seri Najib menang tipis 241 undi,” katanya.

Justeru, Mohd Nizar menegaskan, BN dan Umno perlu memikat pengundi muda yang diketahui sukar menyertai mana-mana parti politik dan terdedah kepada maklumat media sosial, di samping golongan itu pernah tertarik dengan janji manis Pakatan Harapan (PH) ketika PRU14.

“Setelah pelaksanaan pendaftaran pengundi automatik dan penurunan had umur 18 tahun, Pekan menyaksikan pertambahan jumlah pemilih sehingga 119,000 orang termasuk 7,000 pengundi berumur 18 hingga 20 tahun, berbanding 89,000 pengundi ketika PRU14.

“Bagaimana usaha kita menarik mereka? Umno dan BN perlu bijak menggunakan medium tertentu seperti Tik Tok dan Twitter agar mereka menyokong kita. Selain itu, BN perlu memberikan tawaran yang memenuhi kehendak orang muda,” katanya. –Malaysiapost

Komen