Calon PN sedang ditapis SPRM, polis, insolvensi – Muhyiddin

Calon PN sedang ditapis SPRM, polis, insolvensi – Muhyiddin

SEMUA calon Perikatan Nasional (PN) sedang melalui tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis, Jabatan Insolvensi dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gabungan itu dijangka mengumumkan senarai penuh calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sama ada 2 atau 3 November depan.

Beliau berkata, PN yang terdir daripada gabungan Bersatu, PAS, Gerakan, SAPP dan STAR sudah selesai melakukan rundingan pembahagian kerusi.

“PN akan bertanding sekurang-kurangnya tiga perempat daripada 222 kerusi Parlimen di seluruh negara pada PRU15 akan datang.

“Senarai calon yang telah dikemukakan parti komponen ketika ini sedang ditapis polis, Jabatan Insolvensi, SPRM dan LHDN.

“Saya yakin proses tapisan akan selesai dalam beberapa hari akan datang dan kemungkinan besar kita akan membuat pengumuman pada 2 atau 3 November ini,” katanya pada sidang media di Pagoh, hari ini.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, tempoh itu akan memberi masa kepada calon untuk membuat persediaan menjelang hari penamaan calon.

“PN telah memutuskan bahawa walaupun terdapat 222 kerusi Parlimen, kita tidak akan bertanding di semua kerusi berkenaan, tetapi sekurang-kurangnya tiga perempat daripadanya.

“Perincian lanjut mengenai perkara berkenaan akan diumumkan kemudian. Pada masa ini, PN sedang memuktamadkan kerusi yang kita mempunyai peluang lebih baik untuk menang,” katanya. – Malaysiapost

Komen