Dua beranak maut perjalanan ke sekolah

Dua beranak maut perjalanan ke sekolah

DUA beranak maut selepas motosikal yang ditunggang mereka terbabas sebelum dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika dalam perjalanan ke sekolah di Jalan Padang Menora, Pulau Pinang, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi itu, mangsa yang berusia 46 tahun dalam perjalanan menghantar anak lelakinya berusia 15 tahun ke sekolah disahkan maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad, berkata sebaik sahaja tiba di lokasi, motosikal yang ditunggang dua beranak itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh ke laluan bertentangan.

“Hasil siasatan mendapati kemalangan itu dipercayai berlaku apabila motosikal dinaiki dua beranak berkenaan hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum kedua-duanya terjatuh ke atas atas jalan.

“Pemandu MPV yang memandu dari arah Penanti ke Kepala Batas cuba mengelak, namun terlanggar motosikal mangsa,” katanya hari ini.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Malaysiapost

Komen