“Ini masanya membersihkan nama melalui undang-undang” – Syed Saddiq

“Ini masanya membersihkan nama melalui undang-undang” – Syed Saddiq

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan keputusan mahkamah supaya beliau membela diri atas tuduhan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta, sebagai peluang membersihkan namanya mengikut saluran undang-undang.

Malah, Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang berdepan empat pertuduhan itu berkata ia tidak melemahkan semangat dan prinsipnya untuk terus berjuang membela rakyat.

“Kami tak takut, kami tak gentar. Inilah masanya untuk kami memberi kenyataan saksi bersumpah bagi pihak pembelaan.

“Kami tak akan lari dari sistem kehakiman, ia belum berakhir,” katanya pada sidang media selepas mahkamah memutuskan Syed Saddiq perlu membela diri atas empat pertuduhan termasuk pecah amanah dana berjumlah RM1 juta.

Penyandang kerusi Parlimen Muar itu berkata, beliau menceburi bidang politik untuk ‘membersihkannya’ dan sudah tiba masa diberi peluang memberi kenyataan bersumpah dalam prosiding membela diri.

“Saya masuk politik untuk membersihkannya. Inilah peluang untuk memanggil saksi saksi pembelaan bagi pihak saya.

“Saya akan menjelaskan kebenaran daripada perspektif peribadi bagi menegakkan keadilan.

“Dalam bab ini, kami dari semasa ke semasa akan maklumkan kepada media berkenaan tindakan susulan bagi membersihkan nama saya terutama dalam mahkamah,” katanya.

Diminta mengulas sama ada keputusan mahkamah itu akan menjejaskan kempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Syed Saddiq berkata, biar rakyat yang tentukan.

“Saya akan mengadakan mesyuarat bersama parti secepat mungkin untuk membincangkan perkara berbangkit secara mendalam.

“Saya juga fikir ia bergantung kepada rakyat untuk menilai (keputusan mahkamah hari ini),” katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Syed Saddiq membela diri atas empat pertuduhan, termasuk pecah amanah dana berjumlah RM1 juta.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu hari ini, selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Syed Saddiq yang juga bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).

Pada 27 September lalu, pendakwaan menutup kes berkenaan selepas 30 saksi selesai memberi keterangan dalam perbicaraan bermula 21 Jun lalu. – Malaysiapost

Komen