Khairuddin anggap diri calon ‘underdog’ di Titiwangsa

Khairuddin anggap diri calon ‘underdog’ di Titiwangsa

KETUA Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, menyifatkan dirinya sebagai calon ‘underdog’ di kerusi Parlimen Titiwangsa dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau yang juga Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) Wilayah Persekutuan, bagaimanapun bertekad untuk bertungkus-lumus secara habis-habisan bagi memenangi kerusi betkenaan dari pencabar lain.

Khairuddin berterima kasih kepada Pengerusi Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamad dan kepimpinan GTA yang telah meletakkan kepercayaan kepadanya untuk bertanding di kerusi parlimen berkenaan.

Beliau berjanji akan memikul amanah itu sebaik mungkin bagi memenangkan kerusi Parlimen Titiwangsa.

“Saya akan masuk ke gelanggang PRU15 di kerusi Parlimen P119 Titiwangsa ini sebagai ‘underdog’ tetapi akan bertungkus-lumus secara habis-habisan untuk memenangi kerusi tersebut dari rakan-rakan pencabar lain.

“Dalam masa yang sama saya akan bertanding atas dasar ‘semangat kekeluargaan’ dan secara professional tanpa mengizinkan sebarang bentuk kempen yang tidak beretika ataupun serangan peribadi berlaku dalam kawasan Parlimen Titiwangsa.

“Para pencabar semua adalah dari kalangan sahabat karib dan kempen berbentuk provokasi juga tidak akan diizinkan sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairuddin percaya dirinya bukan asing kepada penduduk di Titiwangsa kerana telah hampir setahun setengah berkhidmat di kawasan berkenaan serta seluruh Wilayah Persekutuan secara konsisten.

“Saya amat yakin para pengundi akan bijak menilai prestasi calon-calon dari GTA yang bakal menggunakan logo Pejuang sebagai platform pertandingan kali ini.

“Kali ini merupakan ‘ibu’ kepada keseluruhan sejarah pilihan raya di tanah air kita dan sekiranya rakyat salah memilih berkemungkinan besar akan meruntuhkan keseluruhan negara kita sehingga tidak dapat untuk bangun semula,” katanya. – Malaysiapost

Komen