Khutbah Jumaat ingatkan semula umat Islam ‘manifesto bukan kitab suci’

Khutbah Jumaat ingatkan semula umat Islam ‘manifesto bukan kitab suci’

KEGHAIRAHAN mengejar kuasa sehingga tercipta manifesto populis yang akhirnya dikatakan bukan kitab suci untuk wajar dipatuhi.

Perkara itu diingatkan kepada umat Islam menerusi khutbah Jumaat dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang dibacakan khatib hari ini.

Menurut khutbah tersebut, manifesto tidak boleh hanya menjadi alat atau janji dalam mempengaruhi minda serta persepsi rakyat tentang masa depan.

“Janji seorang pemimpin dari kumpulan tertentu atau manifesto merupakan satu dokumen pemasaran idea, harapan dan masa depan.

“Manifesto ialah penyataan perancangan sesebuah kumpulan yang memperincikan peranan dan perubahan yang akan dilaksanakan pada masa depan.

“Jangan kerana keghairahan kuasa yang bakal dimiliki oleh pemimpin, manifesto populis dibuat untuk menduduki puncak kuasa dan hakikatnya membohongi rakyat semata-mata.

“Akhirnya manifesto dikatakan bukan ‘kitab suci’ yang wajib dipatuhi,” menurut khutbah itu.

Khutbah Jumaat berkata, manifesto perlulah realistik dan bersifat komprehensif meliputi setiap aspek keperluan rakyat dan masyarakat, kestabilan politik, keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Katanya, manifesto mesti menitik beratkan kepentingan menjaga agama Islam, Melayu dan bumiputra.

“Janji masa depan adalah terlalu berharga bagi rakyat dan negara untuk dikorbankan demi mencapai matlamat politik jangka pendek individu atau kumpulan tertentu.

“Sesungguhnya kepentingan Islam, Melayu, umat Islam dan Bumiputera sangat perlu diutamakan.

“Kedudukan Raja-raja Melayu, institusi agama dan hak-hak orang Melayu wajib dipertahankan, dalam masa yang sama tidak meminggirkan hak-hak agama dan bangsa lain,” katanya.

Khutbah Jumaat menegaskan, kuasa rakyat perlu memilih pemimpin dari kunpulan yang membawa aspirasi rakyat.

“Kaum Muslimin yang berbahagia, mandat merupakan ‘kuasa rakyat’ yang diberikan kepada pemimpin atau sesuatu kumpulan sebagai pengemudi dalam membawa aspirasi rakyat.

“Pemimpin menurut Islam adalah umarak atau uli al-amr iaitu orang yang mendapat amanah menguruskan urusan rakyat.

“Selain itu, pemimpin adalah pelayan atau khadam umat. Selepas pemimpin dipilih dengan ‘kuasa rakyat’, maka pemimpin dan pasukannya hendaklah mengamalkan politik matang berpaksikan kepentingan rakyat dan negara,” katanya. – Malaysiapost

Komen