PBM bergolak, jawatan Presiden dipertikaikan

PBM bergolak, jawatan Presiden dipertikaikan

TIMBALAN Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Haniza Mohamed Talha menggesa pengasas parti berkenaan, Datuk Larry Sng Wei Shien menghadiri Mesyuarat Khas Ahli Majlis Tertinggi parti itu pada 3 November depan. Menurutnya, ia bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan Larry Sng di Facebook mengenai status Presiden PBM Datuk Zuraida Kamaruddin.

“Ini penting bagi menjawab persoalan dan tanda tanya yang dibangkitkan mengenai kedudukan Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai Presiden PBM yang sah.


“Sepertimana yang telah diumumkan pada Persidangan Agung Tahunan Parti Bangsa Malaysia pada 7 Oktober 2022 dan telah diperakui dalam minit mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi ke-6 yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.


Beliau berkata, panggilan untuk mengadakan mesyuarat itu termaktub dalam Fasal 21 (1) Perlembagaan PBM yang membolehkan Majlis Tertinggi PBM atas permintaan bertulis oleh sekurang-kurangnya satu pertiga daripada jumlah keseluruhan ahli-ahli Majlis Tertinggi PBM untuk diadakan satu mesyuarat bagi menyelesaikan isu-isu tertentu.


Terdahulu, Larry Sng dalam satu hantaran di Facebook mengumumkan akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) atas tiket PBM dan menegaskan beliau tidak pernah meletak jawatan sebagai Presiden atau keluar parti.
Beliau juga menegaskan calon-calon PBM yang lain akan diumumkan olehnya dalam tempoh terdekat dan segala pengumuman yang dibuat selain darpadanya hanyalah spekulasi semata-mata kerana beliau yang akan menandatangani watikah calon PBM untuk PRU-15.


Sementara itu, dalam satu lagi hantaran di Facebook semalam, Larry Sng bertindak menggantung jawatan Setiausaha Agungnya, Nor Hizwan Ahmad dan Ketua Penerangan, Zakaria Abdul Hamid berkuat kuasa serta-merta.
Larry berkata kedua-dua mereka didapati menjejaskan kedudukannya dalam parti dengan mengadakan pertemuan tanpa pengetahuannya.


Katanya berkata mesyuarat majlis tertinggi diadakan pada 7 Oktober lalu dalam usaha menggantikan beliau dengan Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai presiden PBM yang baharu. – Malaysiapost

Komen