Pemimpin Umno Johor gelar Syed Saddiq ahli baharu ‘kluster mahkamah’

Pemimpin Umno Johor gelar Syed Saddiq ahli baharu ‘kluster mahkamah’

DATUK Mohd Puad Zarkashi secara sinis hari ini mengucapkan selamat datang kepada penyandang kerusi Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman sebagai ahli baharu ‘luster mahkamah’.

Sindiran itu dilontarkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor tersebut selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Syed Saddiq mesti membela diri berkaitan kes pecah amanah.

“Sudah tentu Syed Saddiq kata itu adalah pendakwaan terpilih oleh Kerajaan Muhyiddin. Apakah dia akan bertanding pada PRU15 ini atau membersihkan namanya terlebih dahulu.

“Sebab itu muda tidak semestinya dewasa. Pemidato hebat tidak semestinya jadi ahli politik hebat. Ingatlah, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.

“Muda muda lagi sudah lompat parti, lompat pagar, simpan duit berjuta dan pandai menipu. Akhirnya merayu diberi kerusi selamat. Mana MUDAnya?,” soal Mohd Puad.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Syed Saddiq membela diri atas empat pertuduhan, termasuk pecah amanah dana berjumlah RM1 juta.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu hari ini, selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Syed Saddiq yang juga bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).

Pada 27 September lalu, pendakwaan menutup kes berkenaan selepas 30 saksi selesai memberi keterangan dalam perbicaraan bermula 21 Jun lalu. – Malaysiapost

Komen