Pilih pemimpin  yang susah senang bersama rakyat – Tengku Adnan 

Pilih pemimpin  yang susah senang bersama rakyat – Tengku Adnan 

PENYANDANG kerusi Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor meminta rakyat memilih pemimpin yang benar-benar bersama rakyat. 

Beliau juga mengingatkan pengundi agar memilih pemimpin yang bersama mereka di saat menghadapi kesukaran serta semasa diri ditekan dan dihimpit. 

“Fikirkan siapa yang menghulurkan tangan memberi bantuan … kerana ia tentunya akan terus bersama-sama berpimpin tangan untuk kestabilan dan kemajuan masa depan. 

“Lantas, tolaklah mana-mana calon ‘mi segera’, tiba-tiba muncul pada saat pilihan raya sedangkan selama ini susah senang, sakit perit mereka ini tak pernah pun bertanya khabar, jauh sekali hulur bantuan. 

“Kebijaksanaan rakyat penentu masa depan,” kata Ketua Umno Bahagian Putrajaya itu menerusi hantaran di Facebooknya. 

Beliau berkata demikian ketika Perikatan Nasional (PN) kelmarin mengumumkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin sebagai calon gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Tengku Adnan adalah penyandang kerusi Parlimen Putrajaya sejak tahun 2004. 

BN bagaimanapun masih belum mengumumkan calon yang bakal bertanding di Parlimen Putrajaya pada PRU15 ini. 

Mengulas lanjut, Tengku Adnan berkata, sesiapa sahaja warga Malaysia yang layak boleh mencalonkan diri untuk bertanding dalam PRU ini di mana-mana sahaja kawasan. 

Malah katanya, apa pun parti politik yang diwakili waima tidak berparti sekalipun boleh mencalonkan diri bagi menjadi wakil rakyat sesuatu kawasan. 

“Justeru, di sinilah kebijaksanaan pengundi amat penting. Jangan salah pilih kerana natijahnya sepenggal dalam kemelut yang macam-macam. 

“PRU inilah masa memilih setelah membuat penilaian dan penelitian berdasarkan pelbagai peristiwa yang berlaku di sekeliling malah yang dirasai oleh diri sendiri pun. 

“Kita nak melangkah ke hadapan… jadi kita tolehlah ke belakang seketika. Imbas semula apa yang berlaku selepas PRU lalu. PRU14 yang menjadikan kerajaan beralih daripada Barisan Nasional kepada Pakatan Harapan. Apa jadi ketika itu?,” katanya. – Malaysiapost

Komen