PRU15: Teka-teki terjawab, PAS letak calon di Besut

PRU15: Teka-teki terjawab, PAS letak calon di Besut

TEKA-TEKI parti daripada Perikatan Nasional (PN) yang mana akan bertanding di Parlimen Besut, akhirnya terjawab selepas PAS mengesahkan meletak calonnya di kawasan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ia sekali gus menyaksikan PAS akan bertanding di tujuh kerusi Parlimen iaitu Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Dungun, Setiu, Kemaman dan Besut.

Bersatu yang sebelum ini menyatakan hasrat untuk meletakkan calon mereka di Besut, akan bertanding di Parlimen Hulu Terengganu.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Husain Awang berkata, secara keseluruhannya parti itu akan bertanding di tujuh kerusi Parlimen manakala satu kerusi di Parlimen Hulu Terengganu ditandingi Bersatu.

Menurutnya, keputusan meletakkan calon PAS di Parlimen Besut dilakukan atas persetujuan bersama antara antara kepimpinan kedua-dua parti.

“Ia dibuat di atas asas bahawa untuk memperteguhkan parti di peringkat negeri, maka perlu kepada PAS bertanding,” katanya.

Ketika ditanya kemungkinan penyokong Bersatu akan memboikot calon PAS di Parlimen Besut susulan keputusan itu, Husain yakin bahawa Bersatu tetap terus bersama dengan PAS.

“Setakat ini tidak ada tanda-tanda ke arah boikot memboikot di antara kedua-dua pihak (dan) saya yakin bahawa Bersatu tetap terus bersama dengan kita.

“Mereka telah memberi komitmen untuk bersama-sama dengan PAS bukan sahaja di peringkat negeri tetapi juga di peringkat Persekutuan,” katanya.

Sebelum ini, Bersatu menyatakan hasrat bertanding di kerusi yang dimenangi Umno iaitu Hulu Terengganu dan Besut. – Malaysiapost

Komen