Saya masih belum didapati bersalah – Syed Saddiq
SYED Saddiq Abdul Rahman menegaskan beliau masih belum didapati bersalah walaupun mahkamah memerintahkannya membela diri berhubung empat pertuduhan termasuk pecah amanah.
Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu menjelaskan prima facie tidak bermaksud beliau sudah dibuktikan bersalah.
“Asyraf Wajdi (Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki) kena faham prima facie ni apa dan saya baru sahaja diperintahkan untuk bela diri, bukannya dihukum bersalah.
“Bermakna saya masih punya masa untuk tell my story. Sekarang ini pihak mahkamah baru dengar dari satu pihak sahaja,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno sama ada Pakatan Harapan (PH) akan melabelnya kluster mahkamah seperti yang sering mereka lemparkan kepada pemimpin Umno sekiranya didakwa di mahkamah.
Syed Saddiq berkata, beliau akan mengemukakan segala bukti dan juga saksi-saksi yang tidak dikedepankan oleh pihak pendakwaan sebelum ini dan membongkarkan semua yang terjadi.
Tegasnya, beliau tidak berniat untuk meminta penangguhan kes tersebut dan akan memberi kerjasama penuh kepada mahkamah.
“Jangan risau saya tidak akan minta pertuduhan saya digugurkan dengan mengugut tarik sokongan kepada kerajaan dan sebagainya.
“Ini semua yang dilakukan oleh Umno dan saya tidak akan bawa budaya ini,” katanya
Kata Syed Saddiq, walaupun berdepan empat pertuduhan beliau akan menghadapinya dengan berani kerana benar, bukan takut kerana salah.
“Saya pun harap pertuduhan ini tidak digugurkan secara “tiba-tiba”, saya akan kemukakan bukti dan hujah di mahkamah nanti. Saya lawan di mahkamah!,” katanya – Malaysiapost