Sumber: Ong Tee Keat, Wee Choo Keong calon Warisan di Lembah Klang

Sumber: Ong Tee Keat, Wee Choo Keong calon Warisan di Lembah Klang

BEKAS Presiden MCA, Tan Sri Ong Tee Keat akan membuat penampilan semula dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan bertanding sebagai calon Parti Warisan Sabah (Warisan).

Menurut sumber dalaman Warisan, Ong hampir pasti akan bertanding atas tiket Warisan sebagai calon di salah satu kerusi di Lembah Klang.

“Pengumuman mengenainya akan dibuat tidak lama lagi oleh pucuk pimpinan Warisan.

“Beliau akan bertanding di Lembah Klang, sama ada kerusi tradisinya atau sebaliknya kita tunggulah nanti,” katanya kepada Malaysiapost.

Sebelum ini satu portal berita melaporkan Warisan memberi petunjuk bahawa bekas Presiden MCA akan menyertai parti itu tidak lama lagi.

Bagaimanapun, Naib Presiden Warisan Junz Wong dan Ong masing-masing tidak mahu mengulas lanjut perkembangan itu.

Bagaimanapun, Wong mengesahkan akan ada calon VIP menyertai parti itu dan pengumuman rasmi akan dibuat oleh Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau memberi bayangan ahli baru itu datangnya daripada MCA dan DAP.

Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong juga akan membuat penampilan kembali bersama Warisan dalam PRU15 nanti.

Katanya, Wee yang juga bekas wakil rakyat DAP hampir pasti akan bertanding di kerusi Wangsa Maju.

“Wee Choo Keong adalah salah seorang lagi calon yang akan bertanding dalam PRU15 nanti.

“Saya boleh mengatakan bahawa hampir pasti beliau akan bertanding di Wang Maju,” katanya. – Malaysiapost

Komen