Suspek tipu pakej kahwin diburu

Suspek tipu pakej kahwin diburu

Ben Ibrahim

POLIS Bentong sedang mengesan seorang suspek dipercayai terbabit dalam aktiviti penipuan pakej perkahwinan.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata suspek adalah seorang lelaki berusia 28 tahun dikenali sebagai Muhammad Lutffi.

“Kami menerima dua laporan daripada mangsa iaitu wanita berusia 57 tahun dan anak perempuannya berusia 28 tahun pada Isnin lalu.

“Mereka mendakwa ditipu suspek yang menawarkan pakej perkahwinan mengakibatkan mangsa mengalami kerugian RM20,900.

“Suspek dikatakan mengiklankan perkhidmatan ditawarkan melalui laman sosial Facebook dan menghilangkan diri sebaik mangsa membayar pakej dipilih,” katanya dalam satu kenyataan media malam tadi.

Zaiham berkata, antara pakej ditawarkan suspek termasuk set pelamin, baju pengantin, pakej persolekan, jurugambar, khemah dan katering.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Hasil siasatan awal mendapati syarikat itu wujud dan lokasi butik pengantin berada di bandar Bentong namun sudah ditutup,” katanya lagi.

Zaiham meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek untuk menghubungi balai polis Bentong di talian 09-2222222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – Malaysiapost

Komen