Tangki air pangsapuri pecah, 6 kereta rosak
ENAM kereta milik penghuni sebuah pangsapuri di Taman Mas, Sepang, rosak teruk selepas ditimpa serpihan tangki air yang pecah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata tangki air di tingkat atas pangsapuri itu dilaporkan pecah pada jam 7.15 malam, menyebabkan serpihan tangki dan bekalan air menghempap kenderaan.
Beliau berkata, tangki air berkenaan dianggarkan berada pada ketinggian kira-kira 18.5 meter.
“Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa berlaku dan hanya kerosakan harta benda sahaja,” katanya.
Beliau berkata, bantuan lori air bersih dari Syarikat Air Selangor juga sudah disalurkan bagi membantu 172 pemilik rumah yang terkesan di pangsapuri itu.
“Penduduk yang berhadapan kerosakan harta benda dan kenderaan diminta hadir ke Balai Polis Putra Perdana untuk membuat laporan bagi tuntutan insurans,” katanya. – Malaysiapost