63 rakyat Malaysia terkandas di Arab Saudi dalam proses dibawa pulang

63 rakyat Malaysia terkandas di Arab Saudi dalam proses dibawa pulang

Ben IbrahimĀ 

SERAMAI 63 rakyat Malaysia, termasuk kanak-kanak yang terkandas di Arab Saudi dalam proses untuk dibawa pulang.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, berdasarkan rundingan, kesemua rakyat Malaysia itu dijangka pulang ke negara ini minggu depan.

Katanya, setakat ini, kerajaan sedang berbincang dengan Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur dan pihak berkuasa di Arab Saudi.

“Kita cuba selesaikan dan kemungkinan mereka akan pulang ke Malaysia pada minggu depan.

“Sebenarnya, seramai 63 orang ini mengerjakan umrah tetapi mereka tinggal lebih tempoh yang menyebabkan timbul masalah.

“Oleh itu, kita berbincang untuk memastikan mereka dibawa pulang,” katanya pada sidang media di Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota, di Kuantan, hari ini. 

Berdasarkan kenyataan Wisma Putra pada 8 Oktober lalu, seramai 63 jemaah umrah itu terdiri daripada 28 dewasa dan 35 kanak-kanak terkandas di Arab Saudi sejak Jun lalu.

Kesemua jemaah itu dibawa ke Madinah oleh kumpulan tarekat Naqsyabandiyah Al-Kholidiah untuk mengerjakan ibadah umrah pada Mac lalu.

Bagaimanapun mereka hanya berada di Madinah sehingga hari ini dan tidak pernah dibawa ke Makkah untuk menyempurnakan ibadah umrah.

Susulan pelanggaran undang-undang tempatan, ketua kumpulan tarekat berkenaan diusir keluar oleh Kerajaan Arab Saudi pada 20 Ogos lalu. – Malaysiapost

Komen