Amirudin berentap di Gombak

Amirudin berentap di Gombak

PKR mengumumkan ‘line up’ Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang bakal bertanding di 72 kerusi Parlimen atas tiket Pakatan Harapan (PH), malam tadi.

Paling menjadi tumpuan, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari bakal berentap di Parlimen Gombak yang disandang bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Amirudin yang merupakan Naib Presiden PKR dijangka menentang Azmin yang juga bekas mentornya di Gombak.

PKR juga menamakan ‘giant killer’ Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin bertanding di Bagan Datuk.

Selepas kejayaan menumbangkan bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Mohd Ali Rustam pada PRU13, Shamsul Iskandar diharapkan PKR sekali lagi untuk menumbangkan ‘giant’, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Bagan Datuk.

Ketua Pemuda PKR, Adam Adli akan mengisi kekosongan Shamsul Iskandar sekaligus bakal bertanding di Parlimen Hang Tuah Jaya.

Sementara itu Nik Nazmi Nik Ahmad kekal di Setiawangsa, manakala Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan berpindah dari Parlimen Pandan ke Parlimen Bandar Tun Razak.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli pula diumum bertanding semula di kerusi Parlimen Pandan yang pernah dimenanginya pada PRU13.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution dan Ketua Penerangan Fahmi Fadzil masing-masing kekal di Parlimen Kulim Bandar Baharu dan Parlimen Lembah Pantai.

Sementara itu bekas Pengerusi PH Kelantan, Datuk Husam Musa akan bertanding di Parlimen Pasir Mas dan Nik Omar Nik Aziz diletakkan di Parlimen Pasir Salak, manakala Nurul Izzah Anwar akan mempertahankan kerusi tradisi Permatang Pauh.

Dalam majlis itu, setiap calon yang bertanding perlu menandatangani surat dan borang aku janji, persetujuan memulangkan yuran deposit pencalonan dan persetujuan pemotongan elaun wakil rakyat untuk sumbangan kepada parti. – Malaysiapost

Komen