Awesome TV mahu Finas ambil tindakan terhadap A Aida

Awesome TV mahu Finas ambil tindakan terhadap A Aida

STESEN penyiaran televisyen, Awesome TV, menggesa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) mengambil tindakan tegas terhadap penerbit Datuk A Aida susulan kenyataan kontroversinya berhubung pemilihan pelakon.

Ia selepas penerbit itu mengeluarkan kenyataan bahawa rupa paras melebihi bakat dalam kalangan pelakon, sekali gus mencetuskan perdebatan ramai pihak.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Adam Ilyas, berkata A Aida selaku Ahli Lembaga Pengarah Finas sewajarnya tidak mengeluarkan kenyataan kurang cerdik yang menunjukkan dia tidak layak berada di kerusi tersebut.

“Paras rupa bukan faktor penentu kejayaan sesebuah karya. Saya pasti ramai penggiat seni bersetuju kenyataan itu tidak bijak dan boleh merosakkan industri seni.

 “Kami berpendapat Finas perlu mengambil tindakan tegas terhadap penerbit tersebut. Dia tidak layak berada di Finas, apatah lagi menggalas tanggungjawab  Ahli Lembaga Pengarah,” katanya dalam kenyataan.

Adam berkata, Awesome TV sentiasa memberi peluang sama rata kepada semua penggiat seni untuk memainkan peranan, baik di depan atau belakang kamera merentasi setiap peringkat usia.

“Dari hari pertama bersiaran pada Ogos 2020, kami tidak mengamalkan diskriminasi dalam menentukan pembabitan mana-mana anak seni menerusi program terbitan kami.

“Bakat sentiasa dijadikan faktor nombor satu yang kami tekankan. Kami juga sentiasa menggalakkan persaingan sihat dalam kalangan pelakon, bermula sesi pemilihan barisan utama sesebuah produksi.

“Sesebuah karya perlu ada keseimbangan untuk menjadikannya hebat dan diterima ramai. Bakat, strategi pemasaran, jalan cerita dan pengarahan yang baik adalah formula tepat untuk menarik tontonan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, A Aida dilaporkan menuntut Adam menarik semula kenyataan berkenaan atau berdepan tindakan saman kerana berpendapat pemilik stesen televisyen berkenaan tidak berhak mempersoalkan pelantikannya sebagai Ahli Lembaga Finas.

Baru-baru ini, A Aida membuat pencarian bakat baharu dalam program Eksplorasi Komuniti Kreatif Keluarga Malaysia (Ekspresi@Finas) yang diadakan pada 23 dan 24 Oktober lalu.

Bagaimanapun, kenyataannya menarik perhatian ramai apabila penerbit itu mahu memberi keutamaan kepada calon berwajah cantik dan kacak kerana beranggapan aspek tersebut lebih penting.

Malah, kenyataan A.Aida turut mendapat persetujuan pemilik produksi Zeel Production, Fadzil Teh atau Haji Zeel yang berkata sudah menjadi fitrah manusia suka melihat sesuatu yang cantik dan indah. – Malaysiapost

Komen