Bajet 2023 bukan sekadar manifesto – Ismail Sabri
PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan Bajet 2023 yang dibentangkan pada 7 Oktober lalu, bukanlah sekadar manifesto, kerana kerajaan mempunyai kewangan mencukupi untuk melaksanakannya.
Beliau berkata, bertemakan “Keluarga Malaysia, Makmur Bersama” ia adalah bajet terbesar dalam sejarah negara kerana memperuntukkan sebanyak RM372.3 bilion untuk memberi manfaat kepada seluruh Keluarga Malaysia.
“Bajet ini bukan sekadar manifesto kerana mempunyai kewangan yang mencukupi untuk melaksanakannya, yang mencakupi keperluan semua lapisan masyarakat.
“Ini bagi memastikan tiada Keluarga Malaysia yang tercicir, sama ada di ceruk desa atau di bandar, B40, M40, pelajar, orang kurang upaya (OKU), wanita, usahawan dan sebagainya, semua mendapat manfaat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Negeri Pahang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC), Kuantan, hari ini.
Ismail Sabri berkatai, segala inisiatif dalam Bajet 2023 akan dapat dilaksanakan sekiranya kerajaan yang diterajuinya, diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Insya-ALLAH, segala inisiatif tersebut dapat dilaksanakan sekiranya Kerajaan yang saya terajui, diberi mandat pada PRU-15, supaya bajet ini dapat dibentangkan sekali lagi di Dewan Rakyat, dibahaskan dan diluluskan,” katanya. – Malaysiapost